Sabtu, 4 Ogos 2012

ANTARA PEJUANG KEMERDEKAAN...


 TUN SIR HENRY H.S LEE 

Ketokohan, pengorbanan dan jasa Tun Sir Henry H.S. Lee dalam mencapai perpaduan kaum dan kemerdekaan negara amat terserlah dan perlu dikenang selama-lamanya. Beliau memainkan peranan yang penting dalam penubuhan MCA, perancang utama penubuhan perikatan UMNO-MCA, penentang komunis di zaman darurat dan merupakan pejuang negara semasa menuntut Kemerdekaan Malaya. Apabila Malaya merdeka, beliau telah dilantik sebagai Menteri Kewangan antara tahun 1957 hingga 1959. Sesungguhnya, jasa dan pengorbanan beliau telah menjadi salah satu kebanggaan negara.



TUN V.T. SAMBANTHAN

Tun V.T. Sambanthan merupakan seorang pejuang daripada masyarakat India  yang dilahirkan pada 16 Jun 1919 di kawasan pedalaman di Sungai Siput, Perak. Kepimpinan beliau terserlah apabila dilantik menjadi Presiden Kongres India Malaya ketika berusia 36 tahun. Kemudian Tun V.T. Sambanthan dilantik menjadi menteri penuh dalam 
pelbagai kementerian. Sepanjang tempoh menjadi menteri kabinet begitu banyak jasa yang telah dicurahkan oleh Tun V.T. Sambanthan terutama berkaitan dengan perpaduan rakyat yang berbilang kaum dan dari segi kemudahan kepada rakyat serta semangat patriotisme pada masa itu.

RENTAP

Rentap merupakan seorang pahlawan Dayak (Iban) terkenal dalam sejarah Sarawak. Pada tahun 1853, beliau merupakan salah seorang pemimpin penentang kepada pemerintahan Raja Putih Brooke. Rentap atau nama sebenarnya Libau menjadi ketua pahlawan Iban di Skrang dan Sariba. Gelaran Rentap yang bermaksud Ensumbar dalam bahasa Iban atau membuat dunia bergegar diberikan kepada Libau selepas beliau memenggal kepala musuh dalam perang pertamanya.



MAT SALLEH

Mat Salleh atau nama sebenarnya Datu Mat Salleh merupakan pejuang Sabah yang terkenal dalam memberi tentangan yang hebat kepada penjajahan Inggeris di Sabah. Detik perjuangan Datu Mat Salleh menentang pencerobohan dan keganasan Kompeni Hindia Timur Inggeris bermula pada bulan Julai 1897. Dalam masa pertempuran itu, Mat Salleh yang telah mengetuai pemberontakan selama enam tahun menemui ajalnya pada 31 Januari 1900. Pada pandangan British, Mat Salleh dianggap sebagai seorang pemberontak, tetapi bagi rakyat tempatan, dia ialah pejuang kemerdekaan dan seorang pahlawan.


TOK JANGGUT

Haji Mohd Hassan bin Panglima Mat Munas yang lebih dikenali sebagai Tok Janggut kerana memelihara janggut sampai ke paras dada adalah seorang pahlawan Melayu yang terkenal di Kelantan. Dilahirkan pada 1853, beliau ialah seorang penentang penjajahan British semasa menentang pengenaan cukai oleh pihak British di Kelantan.Beliau juga merupakan tokoh agama Islam yang berjaya menarik sokongan banyak pengikut di Kelantan.


MAT KILAU


Nama penuh beliau adalah Mat Kilau bin Imam Rasu. Mat Kilau dipercayai lahir dalam tahun 1865/1866 di Kampung Masjid, Pulau Tawar, Jerantut, Pahang. Mat Kilau amat mahir di dalam ilmu kebatinan, persilatan dan bermain senjata. Beliau mempunyai sifat-sifat seorang pemimpin dan pemikiran yang matang telah menjadikan beliau seorang pemuda yang sangat disegani dan dihormati oleh penduduk negeri Pahang. Segala cabaran yang berjaya dilalui oleh Mat Kilau semasa menentang pihak British membuatkan pelbagai pihak menyanjung tinggi kepahlawanan beliau.



DATO’ MAHARAJA LELA PANDAK LAM

Dato’ Maharaja Lela Pandak Lam ialah seorang pembesar kelapan Perak yang berketurunan Daeng Salili. Beliau adalah anak Raja Bugis yang berasal dari Daerah Luwuk, Sulawesi. Semasa pemerintahan Sultan Muzaffar Shah III, beliau datang ke Perak dan dilantik sebagai mufti serta dianugerahkan gelaran “Dato’ Maharaja Lela Tan Lela”, dengan kuasa boleh memancung tanpa bertanya. Pandak Lam kemudian mengetuai perjuangan menentang British di Perak dan membuat pakatan untuk membunuh James Wheller Woodfird Birch (J.W.W. Birch), Residen British 
Perak.






Tiada ulasan:

Catat Ulasan